KUALA LUMPUR - Pendirian Sultan Ahmad Shah sama ada akan mempertahankan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), yang disandang semenjak 30 tahun lepas, akan diketahui pada 19 April ini.
Sultan Pahang dijangka mengumumkan keputusannya selepas mesyuarat exco FAM pada hari berkenaan.
"Saya tidak terburu-buru dalam hal ini. Pertama sekali kita nak adakan mesyuarat exco pada 19 April ini sebelum saya beri kata putus," titah baginda ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
FAM akan mengadakan pemilihan untuk penggal 2014-2018 sempena Kongres ke-50 badan induk bola sepak negara itu pada 25 Mei ini.
Pada 2 April lepas, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata tiga pencalonan untuk jawatan presiden diterima tetapi tidak mendedahkan nama calon berkenaan atau persatuan yang mengemukakan pencalonan tersebut.