KUANTAN - YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kompleks Aroma Bersepadu BASF Petronas Chemicals Sdn. Bhd. di sini yang dibangunkan dengan pelaburan RM1.5 bilion mampu meletakkan Gebeng sebagai sebuah pusat industri kimia bernilai tinggi di rantau Asia Pasifik.
Menurut Perdana Menteri, apabila beroperasi pada 2016 kelak, adalah diharapkan kompleks ini mampu menarik lebih banyak pelaburan termasuk dalam industri sokongan selain menjana pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan yang memberi manfaat besar kepada negara dan Pahang khususnya.
"Saya juga percaya projek ini yang akan menampilkan teknologi dan inovasi tertinggi Jerman dalam penghasilan bahan kimia khusus dalam bentuk bahan aroma mencerminkan kesungguhan strategi untuk menjadikan negara berpendapatan tinggi menerusi indutsri berasaskan pengetahuan,'' katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Aroma Bersepadu BASF Petronas Chemicals di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Dato' Sri DiRaja Haji Adnan Bin Haji Yaakob, Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, Pengerusi BASF Petronas Chemicals, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Naib Pengerusi Lembaga Pengarah BASF SE bagi Asia Pasifik, Dr. Martin Brudermuler.