KUANTAN - Hakikat bahawa perkembangan ekonomi Negeri Pahang yang semakin membangun hari ini turut memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
Dalam pada itupun, Kerajaan Negeri masih tidak meminggirkan sektor pertanian – sektor ekonomi yang dilihat ‘lebih dekat’ dengan masyarakat luar bandar yang seringkali pula dikaitkan dengan pulangan ekonomi yang tidak seberapa ataupun kemiskinan.
Senario itu bagaimanpun semakin cuba dihakiskan menerusi program pembangunan tanah seumpama Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan sehingga kini, seluas 2,902 hektar telah diluluskan dan dimajukan menerusi pengawasan Majlis Pembangunan Wlayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
TKPM-TKPM ini ialah seluas 2,300 hektar di Jemeri, Rompin yang melibatkan perladangan nanas bersepadu; 388 hektar di Chegar Perah, Lipis bagi pembukaan ladang herba dan bioteknologi; 200 hektar di Muadzam Shah, Rompin bagi penubuhan pusat penyelidikan dan inovasi lembu tenusu; 10 hektar di Merchong, Pekan bagi pusat pembenihan dan pemasaran ikan dan udang; serta, empat (4) hektar di Tanah Putih, Kuantan bagi pusat pemprosesan ilan.
Tambahan kepada itu ialah pengenalan projek-projek agropolitan dan di Pahang ini sahaja, tiga (3) projek diperkenalkan iaitu di Bebar, Pekan yang dibangunkan oleh ECERDC dan dua (2) lagi iaitu di Chemomoi, Bentong, dan Gahai, Lipis – kedua-duanya dibangunkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
Kesemua projek ini melibatkan golongan miskin dan penyertaan mereka di dalamnya telah menyebabkan diri terlepas dari paras kemiskinan sepertimana nasib 313 peserta dalam kalangan Orang Asli di Pekan, yang aktiviti mereka menternak kambing biri-biri jenis ‘Dorper’ telah berjaya meningkatkan pendapatan bulanan kepada RM1,000 sebulan.
Program-program pembangunan tanah yang sebeginilah sepertimana juga dengan Rancangan Tanah Felda dipercayai, telah menyumbang secara signifikan kepada penurunan kadar miskin tegar di negeri ini kepada cuma 0.07 peratus sahaja pada tahun lepas.