Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Berita Negeri - MARA Pahang Beri Bantuan RM5.9 juta


RAUB  - Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyalurkan pin­jaman sebanyak RM5.9 juta kepada lebih 85 usahawan di seluruh negeri ini bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata, pinjaman tersebut adalah sebagai satu galakan kepada usahawan terutama yang terbabit dalam industri kecil dan sederhana (IKS).

Katanya, dengan pin­jaman tersebut diharapkan dapat membantu para usahawan mengembangkan perniagaan bagi menjamin keuntungan lebih baik pada masa hadapan.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus menyediakan dana membantu usahawan kecil sejajar dengan sasaran kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan IKS berwibawa.

"Selain pinjaman, Mara turut mengadakan khidmat nasihat, kursus, penerangan latihan, ruang niaga dan khidmat bimbingan perniagaan kepada usahawan terbabit,’’ katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini kelmarin.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, Mara meluluskan pinjaman sebanyak RM43 juta kepada 560 usahawan di negeri ini untuk menjalankan pelbagai jenis perniagaan termasuk IKS dan peruncitan.

"Pada tahun 2012, Mara membiayai pinjaman sebanyak RM59 juta dengan 657 usahawan dan peniaga telah diberikan pelbagai kursus, latihan dan bimbingan dalam usaha menjadikan mereka sebagai ahli perniagaan berjaya," katanya.

Shahiruddin dalam pada itu turut memuji peminjam Mara yang rata-ratanya dapat melunaskan pinjaman masing-masing mengikut jadual dan ini memudahkan mereka untuk membuat pinjaman baharu.

Beliau berharap, agensi kerajaan dan swasta dapat mengadakan lebih banyak kursus, latihan dan bimbingan kepada usahawan bumiputera bagi membolehkan mereka mengetahui serta mendalami dunia perniagaan.

Katanya, beliau turut menyarankan agensi kerajaan dan swasta lebih kerap turun padang memberi penerangan serta berdialog dengan para usahawan dan peniaga me­ngenai kemudahan pinjaman yang disediakan untuk mereka.

"Hal demikian itu memudahkan mereka memohon peruntukan daripada kerajaan apabila ma­sing-masing memahami cara-cara membuat pinjaman perniagaan," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...