Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Berita Negeri - Kerajaan Jamin Tiada Ketirisan Sumbangan Wang Ehsan


KUANTAN - Kerajaan memberi jaminan tiada ketirisan akan berlaku terhadap penerima wang ihsan bagi mangsa banjir untuk pusingan kali ketiga yang dijangka akan dimuktamadkan minggu depan.
   
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memperincikan nama mangsa yang belum menerima atau tercicir ketika pemberian bantuan sebelum ini.
   
"MKN menerusi pelbagai jabatan dan agensi yang terlibat, seperti pejabat daerah dan MKN negeri, perlu memperincikan jumlah tersebut kerana tak mahu ada pihak yang tidak layak pun dapat bantuan kali ini.
   
"Sebab itu penyediaan senarai ini juga mengambil masa dalam sebulan setengah sebab kalau kami silap bagi akan menimbulkan masalah lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir daerah Kuantan bagi pusingan kedua di sini hari ini.

Sebanyak 10,141 mangsa banjir (yang tidak berpindah) menerima wang ihsan pada pusingan kedua yang disampaikan secara berperingkat selama tiga hari bermula hari ini.
   
Shahidan berkata, kerajaan juga tidak akan menerima sebarang permohonan baharu selepas pemberian pusingan kali terakhir itu diagihkan.
   
Mengenai jumlah mangsa yang tercicir ketika menerima bantuan sebelum ini, Shahidan berkata jumlahnya adalah kecil dan kerajaan cuba memberikan wang tersebut selepas menerima rayuan mangsa.
   
"Ada juga yang cuba membuat permohonan palsu, tapi tak banyak dan tak perlulah dihebahkan aib orang," katanya.
   
Sejak Februari lalu, sebanyak 18,357 mangsa banjir menerima wang ihsan bagi negeri Pahang dan daripada jumlah itu 14,377 penerima adalah dari daerah Kuantan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...