Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Berita Negeri - Boleh Lawat Semula Jika Tidak Puas Hati


KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang tidak berpuas hati dengan lawatan ke kilang Lynas, Rabu lalu boleh berbuat demikian sekali lagi bagi mendapatkan butiran lanjut berhubung operasi loji memproses nadir bumi tersebut.

Pengerusi Jawatan­ku­asa Pemba­ngunan Wa­nita dan Keluarga, Ko­munikasi dan Multi­me­dia negeri, Datuk Sha­haniza Shamsuddin berkata, pengurusan ki­lang tersebut terbuka kepada mana-mana pihak termasuklah pemimpin pembangkang untuk me­lakukan lawatan.

"Saya rasa tidak semua ADUN pembangkang yang tidak berpuas hati dalam taklimat dan lawatan yang diadakan itu, cuma ada beberapa sahaja yang kata tidak cukup masa.

"Soal tidak cukup masa saya rasa tidak timbul kerana semasa taklimat setiap ADUN diberikan banyak masa untuk menanyakan soalan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar berhubung kenyataan beberapa ADUN pembangkang yang masih tidak berpuas hati walaupun diberi peluang bertanyakan pelbagai soalan dalam sesi lawatan ke kilang berkenaan Rabu lalu.

Dalam lawatan yang dihadiri kesemua ADUN negeri ini termasuk 12 wakil pembangkang itu, mereka dibawa meninjau operasi di keseluruhan loji tersebut di samping menerima taklimat terperinci selama kira-kira tiga jam daripada pihak pengurusan Lynas.

Shahaniza yang juga penganjur lawatan itu berkata, jika masih tidak berpuas hati, ADUN pembangkang boleh me­mohon masa yang lebih lama walaupun lawatan Rabu lalu dilihat cukup menyeluruh.

"Taklimat yang diberikan oleh pakar-pakar kilang tersebut cukup padat dan memberi banyak informasi kepada para ADUN," katanya.

Sementara itu, ADUN Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusin berkata, pene­rangan yang diberikan oleh Penasihat Keselamatan Radiologi Lynas Prof. Dr. Ismail Bahari dan beberapa pakar dari kilang tersebut cukup jelas dan padat.

"Tetapi saya lihat pembangkang ini hanya menanyakan soalan yang seolah-olah ingin menunjukkan bahawa kilang tersebut tidak selamat.

"Namun bagi saya apa yang telah dijelaskan oleh pakar ini telah membuktikan bahawa kilang ini selamat seperti kilang-kilang biasa," katanya.

Katanya, beliau sudah menjangkakan bahawa pembangkang akan memutar belit isu ini walaupun te­lah dite­rangkan dengan teliti dalam taklimat tersebut.

"Namun jika tidak berpuas hati, pembangkang boleh aturkan satu lagi rombongan untuk melawat kilang ini dan bolehlah pihak Lynas memberikan lebih lama taklimat kepada mereka," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...