KUALA LIPIS - Masyarakat Islam tidak harus berputus asa sebaliknya terus berdoa memohon petunjuk daripada Allah supaya pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang minggu lalu dapat ditemui semula.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, dalam mencari doa yang mustajab seluruh masyarakat Islam khususnya alim ulama termasuk di kampung diminta terus berdoa kepada Allah.
"Saya yakin dan percaya doa orang Islam, orang soleh termasuk imam-imam dan warga emas di kampung serta mereka yang ada kaitan dengan mangsa secara berterusan diberi petunjuk, insya Allah dimakbulkan.
"Hati kecil saya percaya dengan doa ini kita akan diberi petunjuk oleh Allah untuk menemui pesawat itu," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran perkhidmatan bas henti-henti dan bas ekspres baharu serta perasmian stesen bas Akasia Benta, di sini kelmarin.
Tambah Adnan, dalam memohon petunjuk daripada Allah, masyarakat Islam juga perlu memohon dengan cara yang betul dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.