TEMERLOH - Sebanyak 2,000 pokok akan ditanam di 11 daerah di Pahang, tahun ini menerusi program 'Go Green With Saset' sebagai usaha untuk mencegah kejadian bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir selain mengindahkan lagi alam semulajadi di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Alam Sekitar Sultan Ahmad Shah (SASET), Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Sultan Ahmad Shah berkata, program itu juga secara tidak langsung mampu memelihara dan meningkatkan lagi mutu alam sekitar di Pahang.
"Menerusi program ini, kita menyasarkan penglibatan pelajar sekolah, badan bukan kerajaan dan sukarelawan agar mereka dapat turut sama memainkan peranan dalam soal pemeliharaan alam sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian 'Go Green With Saset' di Lanchang di sini yang disempurnakan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.
Turut berangkat Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom selain turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.
Sementara itu, Adnan turut mengingatkan rakyat di negeri ini supaya sentiasa prihatin dalam soal penjagaan alam sekitar kerana sikap yang tidak bertanggungjawab seperti membuang sampah merata-rata boleh menimbulkan masalah lain seperti penyebaran wabak penyakit dan banjir.
"Contohnya banjir yang melanda Kuantan baru-baru ini juga disebabkan kebanyakan longkang serta parit di bandar tersumbat kerana dipenuhi sampah sarap yang dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab yang akhirnya menyusahkan semua orang," katanya.
Dalam masa sama beliau menggesa rakyat di negeri ini supaya tidak melakukan kegiatan pembakaran terbuka semasa musim kering yang melanda negara ketika ini, untuk mengelak masalah jerebu.
"Saya berharap segala arahan dan peraturan yang dikeluarkan pihak berkuasa dipatuhi dalam usaha menjaga alam persekitaran yang bersih dan udara sihat," katanya.