RAUB – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan para pelajar sekolah menengah agama negeri (SMAN) supaya belajar bersungguh-sungguh agar dapat menjadi profesional yang berpendidikan Islam kental kelak.
Dalam ucapan luar teks 14-minit ketika merasmikan penutupan Majlis Sukan dan Ilmiah Sekolah-sekolah Ugama Pahang (MASISUPA) ke-30 pada pagi Selasa, 25 Mac di sini katanya;
“Kalau saya dapat jadi (semula seperti) saudara-saudara, anak-anak semua; saya akan belajar bersungguh-sungguh. Cita-cita saya ialah (untuk) menjadi ahli ilmuan, ahli faksafah, yang pakar dalam bidang saya ceburi.
“Mungkin saya boleh jadi jurutera, mungkin saya boleh menjadi doktor, mungkin saya boleh jadi peguam. Tapi, pada ketika yang sama, saya mempunyai pendidikan Islam yang kental dan kalau bolehnya, saya hafaz, saya menjadi hafiz”.
Sebenarnya kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, SMAN serta para pelajarnya adalah ‘special’ kerana selain mengikuti pelajaran akademik lalu menduduki peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka juga perlu mempelajari pendidikan Islam serta Bahasa Arab.
Ini akan menjadikan mereka para pelajar yang ‘serba-serbi’ ada dalam diri masing-masing yang oleh itu menurutnya, “Itu sebab, anak-anak jangan rasa rendah diri. Ingatlah kata Menteri Besar ini”.
SMAN yang ada sekarang – kesemuanya 18 buah katanya, sudah mempunyai infrastruktur dan kemudahan yang baik yang menyumbang kepada pencapaian yang meningkat dalam peperiksaan-peperiksaan yang diduduki oleh pelajar-pelajarnya.
Dengan peredaran masa juga menurutnya yang juga seorang bekas guru, tanggapan masyarakat terhadap SMAN atau dahulunya dikenali sebagai Sekolah Arab, sudah jauh berubah kepada yang lebih positif.
Semasa beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Agama Pelangai (Januari 1969 hingga Mei 1972) katanya, kemudahan di sekolah itu tidaklah sepertimana yang terdapat hari ini.
Ketika itu juga kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, kebanyakan pelajar yang dihantar belajar ke SMAN atau Sekolah Arab, merupakan pelajar-pelajar yang tidak dapat melanjutkan ke sekolah-sekolah lain.
“Sekolah Menengah Agama atau pun Sekolah Arab pada masa itu, dianggap sebagai sekolah pilihan terakhir, sekolah untuk menampung pelajar-pelajar yang kurang cergas, yang kurang cerdrik.
“Saya ingat lagi, saya telah mengumpulkan pelajar-pelajar saya dan saya beritahu mereka, ‘Kamu semua ingat, masyarakat semua memikirkan Sekolah Arab, Sekolah Menengah Agama ini sebagai tong sampah untuk budak-budak yang tidak cerdik.
““Kamu kena buktikan perkara ini salah. Kamu kena belajar rajin-rajin. Kalau orang lain boleh buat, kenapa kamu tak boleh buat?’.
“Dan Alhamdulillah, 4, 5 orang dari kumpulan pelajar-pelajar itu telahpun dapat menjejak kaki ke universiti diantaranya sekarang ini ialah Pegawai Daerah Jerantut, Dato’ Syed Mutalib (Syed Hassan);
“Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, Dato’ Syed Mohd Nor (Syed Jaafar); dan beberapa orang lagi yang juga menjadi pegawai-pegawai kerajaan sekarang ini,” katanya. - KhabarPahang