KUANTAN – Markas Wilayah Laut (MAWILLA) 1, Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di Tanjung Gelang dekat sini, akan dijadikan markas operasi bagi kerja-kerja menyelamat berkaitan Insiden pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang.
“Saya tidak mahu menimbulkan kekeliruan dengan menambah, membuat Kenyataan tetapi, Markas Wilayah Laut (MAWILLA) 1 di Tanjung Gelang, akan dijadikan markas operasi jika ada kerja-kerja menyelamat yang akan dilaksanakan dan perlu mengangkut peralatan ataupun barang mereka yang dijumpai terselamat sebagainya.
“Saya telahpun beritahu Laksamana Muda Dato’ Azhari, kita bersedia untuk membantu. Kerajaan Negeri bersedia untuk membantu,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media sempena Majlis Pelancaran Program Jelajah Informasi Usahawan Negeri Pahang yang disempurnakannya petang Rabu, 12 Mac di sini.
Laksamana Muda Dato’ Azhari Abdul Rashid ialah Panglima, MAWILLA 1.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan wartawan tentang peranan yang mungkin diberikan kepada negeri ini khususnya MAWILA 1, dalam menghadapi operasi menyelamat berkaitan dengan insiden kehilangan Penerbangan Malaysia MH370 itu.
Ketika ditanya pula tentang dirinya yang dilihat berada di sebuah hotel di Putrajaya – Hotel Everly, yang menempatkan waris-waris kepada penumpang pesawat MH370 itu petang semalam katanya;
“Saya pergi ke Everly Hotel sebab pertamanya, rasa simpati sesama manusia. Dan yang keduanya, ada kawan dengan adik saya, ada ayahnya pernah menjadi jurutera daerah Lipis, ada yang kawan dengan anak saudara saya,
“… dan ada juga yang kawan dengan saya, sebagai contohnya Saudara Selamat Omar, adalah ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh satu masa dulu, ahli jawatankuasa Bahagian Bera.
“Saya kenal beliau dan beliau menunggu berita mengenai anaknya, jurutera MAS, yang dijangka ke China untuk membaiki pesawat di sana. Itu sebab saya pergi, untuk menunjukkan rasa simpati,” katanya.