Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Berita Negeri - MAMPAN Berikrar Terus Perangi COMANGO


KUALA LUMPUR – Dewan keramat dalam bangunan milik UMNO ini bergemuruh dengan tepukan sokongan kira-kira 2,000 peserta, apabila mendengar kata-kata komitmen Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang menyebut;

“Saya salah seorang yang akan terus memberi bantuan kepada mana-mana sahaja kumpulan yang akan lawan COMANGO”.

Dalam pada tepukan sokongan yang berterusan itu beliau menegaskan betapa; “Kita (beliau dan Kerajaan Negeri Pahang pimpinannya) akan terus (dengan) apa yang kita buat.

“Mana-mana pihak yang jumpa kita minta bantuan untuk melawan COMANGO; hendak pergi ke Geneva ke, nak pergi ke mana ke untuk menerangkan hal bagi melawan COMANGO, kita akan beri kerjasama”.

Dato’ Sri DiRaja Adnan meluahkan kata-kata ini dalam ucapan luar teks 36-minitnya pada Wacana Pendidikan Majlis Mahasiswa Anak-anak Pahang (MAMPAN) 2014 bertemakan COMANGO; Impak terhadap perpaduan dan keamanan negara, tengah hari Sabtu, 15 Mac, di sini.

COMANGO ialah singkatan kepada Coalition of Malaysia’s Non-Government Organisation dan ia memperjuangkan hak kebebasan manusia khususnya kebebasan untuk LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) termasuklah hingga ke peringkat UNHRC (United Nation’s Human Rights Council) di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland.

Para peserta yang terdiri daripada mahasiswa anak-anak Pahang dari institusi-institusi pengajian tinggi seluruh negara, sebelum itu turut mengikuti persembahan kertas kerja-kertas kerja yang dibentangkan oleh Yang Dipertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Prof Madya Dr Asyraf Wajdi Dusuki;

Ketua Penolong Pengarah E2 M, Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial, Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Kanan Dato' Mohd Sofian Md Makinuddin; serta, Penolong Pengarah/Pegawai Penyelidikan, Seksyen Akidah, Bahagian Perancang dan Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Encik Mohd Aizam Mas’od.    

Manurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, COMANGO dalam kebanyakan kenyataannya, lebih menjurus kepada membuat tuduhan terhadap Kerajaan lalu beliau memberikan contoh antaranya, dalam laporan itu menyebut;

‘Malaysia is a multi-ethnic and multi-religious nation. Muslim make up approximately 61 percent of the population, and Malays make up around 54 percent. Article 160 (2) of the Federal Constitution defines Malay as been Muslim. Malays have special privileges under Article 153 of the Federal Constitution.

‘This intertwined of the race and religion has proven to be a powerful political tool for those who wants to stay in power or to get in power’. 

Kenyataan seumpama itu menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, membawa maksud bahawa ia (COMANGO) mengatakan betapa; “Islam-Melayu yang dikaitkan dengan Islam, hanyalah menjadi senjata kepada orang-orang politik untuk mengekalkan kuasa”.

Perjuangan COMANGO menurutnya lagi, bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan tetapi juga dengan tabii manusia, dengan memberikan contoh bagaimana Allah telah menjadikan makhluknya berpasang-pasangan sepertimana lelaki ialah untuk pasangan wanitanya.   

“Tapi ini (hubungan luar tabii) digalakkan oleh mereka (COMANGO). Apa akan jadi jika ini berlaku? Bermakna, susunan masyarakat, sususan keluarga kita akan menjadi caca-marba, akan menjadi bercelaru, ‘topsy-turvy’.

“Kita juga bukan tidak baca sejarah yang terdahulu; negeri-negeri yang telah dilingkupkan, yang sudah diterbalikkan, gempa buminya dan pelbagai lagi malapetaka yang datang,” katanya lagi.

Sehubungan itu beliau meminta para peserta Wacana Pendidikan MAMPAN 2014 yang turut mengeluarkan resolusi ke arah menangani dan mengatasi gejala oleh COMANGO, supaya tidak ‘duduk senyap’ selepas ini, sebaliknya terus menyanggah kenyataan mereka.    

Selain itu beliau mencadangkan agar jalinan silaturrahim sesama mahasiswa ditingkatkan lagi dari masa ke semasa, serta tidak lagi terus dengan amalan ‘nafsu-nafsi’ dalam kalangan mereka dan masyarakat kita.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...