KUANTAN – Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak menolak kemungkinan merombak kepimpinan Pemuda Umno bagi memantapkan jentera pilihan raya.
Khairy berkata, rombakan berkenaan akan dilakukan pada sebuah negeri namun beliau masih enggan mengumumkannya.
“Lambat atau cepat, kita tetap umumkan bila tiba masanya nanti Jadi, tunggu sahajalah,” katanya selepas menghadiri program BN Pilihan Orang Muda di Dewan Jubli Perak, semalam.
Beliau hadir dalam Majlis Pelancaran program itu di hadapan 5,000 ahli Pemuda dan Puteri Umno yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Turut hadir ialah Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Pemuda Umno Pahang, Datuk Abu Jimi Samat.
Khairy berkata, rombakan kepimpinan itu perkara biasa dan pernah dilakukan di beberapa negeri sebelum ini.
“Saya sentiasa memantau kepimpinan setiap negeri dan saya lihat kita perlu melakukan perubahan kepada negeri itu bagi memantapkan jentera pilihan raya.
"Kita memerlukan 'general' untuk menghadapi peperangan (PRU), maka sudah tiba masanya saya membuat rombakan untuk mencapai kemenangan,” katanya.
Beliau sebelum ini menafikan rombakan dilakukan berikutan wujud perpecahan di kalangan ahli pergerakan itu atau kepimpinan negeri yang tidak diterima peringkat akar umbi.
Sementara itu, Khairy dalam ucapannya mahu sokongan padu diberikan golongan muda kepada BN agar kemenangan memihak kepada parti itu dalam PRU13.
“Berdasarkan kajian yang saya lakukan dalam pilihan raya kecil yang diadakan sejak 2009 menunjukkan sokongan golongan muda kepada BN semakin meningkat.
“Lapan pilihan raya kecil yang kita lalui menunjukkan saluran muda majoriti menyokong BN terutama di Kerdau, Merlimau dan Tenang,” katanya.

