KUANTAN - Seorang ibu tunggal berhasrat menggunakan wang pampasan arwah anaknya untuk mengubah suai rumahnya menjadi 'mesra orang kurang upaya' (OKU) bagi memudahkan pasangan kembar anaknya yang cacat melakukan aktiviti harian.
Salmah Abdullah, 52, dari Felda Panching Timur di sini, berkata, wang pampasan oleh Pertubuhan Perkhidmatan Sosial (Perkeso) kerana kematian anak keempatnya, Mohd. Safarinhadi Ishak akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini membolehkan hasrat tersebut ditunaikan.
Menurutnya, dia sudah membuat pinjaman sebanyak RM40,000 daripada Felda untuk tujuan itu namun jumlah tersebut tidak mencukupi bagi menampung kos keseluruhan yang dianggarkan berjumlah antara RM50,000 hingga RM60,000.
"Perancangan membina rumah mesra OKU adalah bagi memudahkan anak kembar iaitu anak kelima, Shahrul Hafizi, 23 dan adiknya, Shaiful Hazri, 23 yang cacat akibat diserang penyakit kuning ketika masih kecil.
"Mereka bukan sahaja tidak mampu bercakap dan berfikiran seperti manusia normal lain tetapi keadaan kaki mereka yang tidak sempurna memaksa mereka merangkak untuk bergerak dan pembinaan rumah mesra OKU itu akan memudahkan aktiviti seharian mereka," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Salmah tidak menyangka menerima pampasan berjumlah RM35,000 daripada Perkeso memandangkan dia tidak mengetahui mengenai itu.
"Saya tidak menyangka akan menerima bayaran tersebut daripada Perkeso walaupun selepas hampir 10 tahun kematian suami. Mungkin ia adalah hikmah daripada kejadian yang meragut nyawa anak keempat saya," katanya.
Salmah yang kematian suami sejak 10 tahun lalu akibat serangan jantung berkata, majikan arwah anaknya menguruskan tuntutan Perkeso sebelum pihak tersebut datang berjumpa dengannya.
"Pada pertemuan itu, kakitangan Perkeso menjelaskan saya layak menerima bayaran faedah Pencen Penakat untuk kematian suami.
"Selain bayaran berkenaan, saya juga menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM1,500 daripada Perkeso," jelasnya.


