BENTONG - Peneroka yang membeli saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) akan mendapat keuntungan besar apabila ia disenaraikan di pasaran Bursa Malaysia pada bulan ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pelaburan itu juga dapat menjamin masa depan golongan tersebut pada tahap yang lebih baik.
"Peneroka tidak perlu bimbang dengan penyenaraian tersebut kerana apa dilakukan kerajaan telah dikaji dan diteliti oleh pakar ekonomi negara dan Felda sendiri.
"Kerajaan tidak akan melakukan sesuatu perkara tidak baik malah, penyenaraian FGVH mampu memberi keuntungan besar kepada peneroka, rakyat dan negara," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada program sukaneka anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Tanah Rancangan (JKKKR) di Felda Sungai Kemahal, di sini baru-baru ini.
Menurut Adnan, segelintir peneroka yang menolak saham itu akibat terpengaruh dengan dakyah pembangkang akan menyesal apabila ia terus melonjak apabila diniagakan nanti.
Katanya, FGVH merupakan sebuah syarikat peladangan milik kaum Melayu terbesar di dunia dan disenaraikan di Bursa Malaysia dengan nilai saham berbilion ringgit.
"Penyenaraian itu akan melonjakkan pendapatan syarikat dan ekonomi negara bahkan memberi manfaat kepada kerajaan dan rakyat.
"Tahun pertama penyenaraiannya dijangka memberi keuntungan berganda hasil daripada perniagaan yang dijalankan syarikat tersebut," katanya.
Adnan memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan mengkhianati amanat ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein untuk memperkasakan Felda.
"Saya meminta para peneroka tidak perlu gusar dan bimbang dengan penyenaraian itu kerana ia tidak membabitkan tanah atau aset mereka seperti mana didakwa pembangkang.
"Segala tohmahan dan dakwaan pembangkang tidak lebih daripada bersikap dengki terhadap kerajaan serta tidak mahu melihat peneroka berjaya," katanya.


