KUANTAN - Yayasan Pahang membelanjakan RM678 juta dalam tempoh kira-kira tiga dekad bagi memartabatkan pencapaian pendidikan rakyat negeri ini tanpa mengira kaum dan agama.
Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Saariah Saad berkata, jumlah itu melibatkan hampir 600,000 penerima yang mana bantuan pendidikan itu juga sentiasa ditingkatkan dari tahun ke tahun.
"Usaha yang giat dan gigih akan terus dilaksanakan bagi mencapai impian untuk mengubah dan memartabatkan masyarakat di negeri Pahang menerusi program-program peningkatan kualiti pendidikan yang berterusan," katanya ketika berucap pada Majlis Kecemerlangan Pendidikan Pahang 2012 di sini baru-baru ini.
Seramai 311 pelajar di negeri ini menerima hadiah pada majlis tersebut yang disampaikan Pemegang Amanah Yayasan Pahang, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Menurut Saariah, atas usaha gigih itu juga, Yayasan Pahang telah diiktiraf sebagai Perkhidmatan Sosial Terbaik di Asia Pasifik bagi tahun 2011 dan 2012 oleh sia Pasific Business Excellent Standard Academy, sebuah agensi antarabangsa yang tidak berteraskan keuntungan di Hong Kong baru-baru ini.
Menurut beliau, kejayaan kepada proses transformasi negara sangat bergantung kepada kualiti modal insan dan Yayasan Pahang akan terus mendukung hasrat negara bagi mencapai Wawasan 2020.
"Menerusi usaha memartabatkan masyarakat berilmu berpengetahuan, kita yakin, ia sekali gus boleh memacu peningkatan taraf hidup individu yang dahulunya susah tetapi kini berjaya menjadi usahawan, ahli korporat dan profesional yang berjaya dan berdaya maju.
"Yayasan Pahang akan terus meletakkan fokus kembali kepada asas sebagai agenda utama dengan memastikan tiada anak-anak Pahang tercicir daripada mendapat pendidikan hanya disebabkan kedaifan ekonomi keluarga," jelasnya.
Sementara itu, seorang pelajar yang menerima bantuan biasiswa kecemerlangan Menteri Besar, Wong Poh Yuan, 21, berkata, dia sungguh gembira kerana terpilih menerimanya.
Dia yang bercita-cita untuk menjadi pakar ekonomi suatu hari nanti turut berkata, biasiswa tersebut akan digunakan sepenuhnya bagi tujuan pendidikan.
"Saya sangat gembira menerima bantuan biasiswa ini. Ia sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan orang tua saya," katanya yang kini menuntut di Universiti Malaya.
Pada masa yang sama, Azreen Husaini Husop, 18, seorang penerima anugerah kecemerlangan bagi kategori khas pula berkata, dia terkejut apabila tersenarai sebagai salah seorang penerima anugerah.
Azreen yang cacat fizikal berkata, anugerah tersebut sangat bermakna bagi diri beliau kerana dia telah berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya.
"Ibu dan ayah saya pasti berbangga dengan usaha dan pencapaian saya. Walaupun saya tidak sempurna seperti orang lain namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk berusaha hingga berjaya," katanya.


