KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menganggap exco kanan Pahang Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak yang meninggal dunia hari ini sebagai seorang yang begitu gigih bekerja dalam memajukan negeri itu terutama kawasan Dewan Undangan Negeri Chenor.
Sambil berkata beliau secara peribadi telah lama mengenali Allahyarham, Najib yang juga Presiden Umno, berkata beliau menghargai segala sumbangan Allahyarham dalam kerajaan dan parti selama ini.
"Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya berharap anggota keluarga Allahyarham tabah dan bersabar menghadapi dugaan ini," kata Najib dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Exco berusia 64 tahun itu meninggal dunia kira-kira 9 pagi selepas hampir dua minggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Tan Mohd Aminuddin dimasukkan ke hospital pada 8 Jun lepas kerana cirit-birit serta muntah sebelum ditempatkan di ICU akibat komplikasi lain, termasuk sakit jantung dan kencing manis.
Anak jati Chenor itu merupakan Ketua Umno Bahagian Maran dan menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri Chenor selama lima penggal dan pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Besar Pahang. - Bernama


