TEMERLOH - Kalangan isteri peneroka Felda yang bakal menerima durian runtuh sebanyak RM5,000 menyambut baik langkah membahagikan wang berkenaan kepada isteri kedua atau kepada bekas isteri peneroka.
Rata-rata mereka yang ditemui Bernama berkata langkah itu wajar atas dasar peri kemanusiaan dan timbang rasa.
Seorang isteri peneroka, Rahimah Daud, 61, dari Felda Sebertak dekat sini berkata sekalipun wang durian runtuh itu dilihat hak sepenuhnya kepada isteri pertama, namun isteri kedua atau bekas isteri peneroka juga sebenarnya berhak untuk menerima wang berkenaan.
"Kalau nak dikirakan, wang tersebut berhak diterima isteri pertama kerana telah lama bersama suami terutamanya semasa mula-mula menyertai tanah rancangan itu.
"Bagaimanapun atas peri kemanusiaan dan bertimbang rasa, wajar isteri kedua atau bekas isteri menerimanya agar masing-masing boleh menikmati wang durian runtuh yang diberikan kerajaan itu," katanya.
Semalam, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad berkata pemberian wang durian runtuh kepada isteri peneroka dijangka dilakukan pada bulan depan.
"Jika peneroka beristeri dua dan telah berpisah wang tersebut akan dibahagi sama rata," kata Isa.
Bagi Chik Rahmah Mat Akil, 54, dari Felda Mayam, Bera berkata isteri kedua yang menerima wang durian runtuh yang dibahagikan sama rata itu jangan pula berasa angkuh, sebaliknya perlu bersyukur.
"Apapun yang dilakukan kerajaan dengan membahagikan wang itu sama rata membuktikan bahawa kerajaan sangat bertimbang rasa dan adil," katanya.
Siti Zaleha Hamid, 56, dari Felda Bukit Kepayang Bera pula berkata warga peneroka perlu berterima kasih kepada kerajaan dan Felda terutamanya Perdana Menteri yang memberikan durian runtuh keseluruhan berjumlah RM15,000 kepada ketua keluarga, isteri dan anak-anak.
"Bukan mudah bagi kerajaan untuk mengagihkan wang tersebut, apatah lagi tanah peneroka tidak terbabit dengan penyenaraian itu. Malah rakyat di negara lain tidak mendapat peluang sepertimana yang diperoleh warga peneroka.
"Bukan sahaja wang durian runtuh, malah turut diberikan 800 unit saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) untuk menjamin masa depan keluarga," kata Siti Zaleha. - Bernama


