KUALA LIPIS - Warga pendidik di negeri ini diminta menggunakan ruang pendidikan sebaik mungkin untuk mengikis idealisme Barat, khususnya pemikiran liberal yang mula mendominasi sikap pelajar yang boleh meruntuhkan akhlak generasi kini.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, liberalisme yang disogok menerusi cara hidup bebas dan bertentangan dengan Islam mesti disekat menerusi pemantapan pendidikan untuk memacu pembinaan akhlak, termasuk kecemerlangan akademik pelajar.
Menurutnya, minat terhadap hiburan melampau dan pergaulan bebas akan menjurus terhadap hubungan seks sejenis dan mementingkan individu berasaskan hak asasi yang sudah menguasai mentaliti anak-anak muda ketika ini.
“Sebenarnya di tangan guru yang berintegriti dan berdedikasi terletak tanggungjawab berat untuk mengikis idealisme Barat yang meracuni pemikiran anak-anak muda kita, termasuk pelajar.
“Sewajarnya guru berwaspada dengan ancaman liberalisme yang meracuni pemikiran itu serta memikirkan mekanisme yang sesuai berasaskan pendidikan untuk menangani gejala berkenaan," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Guru Negeri Pahang di sini, semalam.
Hadir sama Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak; ADUN Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad dan ADUN Cheka, Datuk Fong Koong Fuee dan Pengarah Pelajaran negeri, Yahya Zainal Abidin.
Menurut Adnan, sentuhan kasih sayang perlu ditanamkan oleh guru ketika mendampingi pelajar di bilik darjah dan kegiatan luar sekolah, supaya masalah mereka dapat diselami di samping menyuntik nasihat berguna khususnya menghindari gejala berkenaan.
Katanya, sentuhan kasih sayang antara elemen falsafah pendidikan yang tertua di dunia, malah diperakui memberi kesan mendalam untuk mengubah sikap pelajar, termasuk menerusi usaha pembinaan insan di sekolah.
Beliau turut meminta masyarakat menghargai guru yang banyak berkorban untuk mendidik pelajar dan turut membantu kerajaan negeri melestarikan pembangunan modal insan.
Sehubungan itu, katanya, sambutan Hari Guru perlu dihayati bersama bagi menghindari betapa pentingnya pengorbanan guru mencorakkan kehidupan seseorang insan.


