
KESUNGGUHAN peserta mengikuti latihan membuat makanan turut mendapat perhatian Abdul Manan Ismail (kanan, berdiri) di Paya Besar, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
PAYA BESAR - Masyarakat Orang Asli kini semakin terbuka menerima perubahan, termasuk dalam bidang pekerjaan bagi memperoleh pendapatan tetap secara yang lebih stabil.
Justeru, melalui program Azam Kerja 1Malaysia yang dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Kerja negeri, golongan itu tidak ketinggalan menerima beberapa kemudahan, terutama peralatan bagi memulakan perniagaan.
Bagi Johan Ahmad, 28, dari Kampung Orang Asli Sungai Mas, Sungai Lembing di sini, sebelum ini dia melakukan kerja kampung iaitu menangkap ikan kelah.
Menurutnya, pendapatan diperoleh tidak menentu menyebabkan dia kini mahu mencari peluang pekerjaan lain yang mampu menjana pendapatan lebih baik.
“Selepas mendapat tahu mengenai program Azam Kerja 1Malaysia, saya terus menyertainya dan memilih untuk menceburi bidang pembuatan makanan.
“Walaupun tiada pengalaman, ada latihan dan tunjuk ajar diberikan kepada peserta yang tidak mahir," katanya ketika ditemui pada Program Latihan dan Penyerahan Peralatan Azam Kerja 1Malaysia peringkat negeri, di sini baru-baru ini.
Pada majlis itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail hadir menyampaikan peralatan membuat popia, sata dan otak-otak iaitu peti ais, mesin penguli tepung serta bahan mentah kepada 85 peserta yang terpilih berdasarkan senarai e-Kasih.
Hadir sama, Penolong Pengarah Tenaga Kerja negeri Pahang, Rohizah Mohd. Razali.
Seorang lagi masyarakat Orang Asli, Rahayu Abdul Karim, 33, pula menganggap program itu memberi ruang kepada golongan tersebut untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan.
“Saya percaya melalui program ini dapat membantu menambah pendapatan memandangkan suami hanya melakukan kerja kampung," katanya.
Sementara itu, Rohizah berkata, usaha kerajaan melalui program tersebut dapat membantu masyarakat, terutama rakyat berpendapatan rendah menjana ekonomi keluarga.
Katanya, penyertaan majikan berpengalaman melalui program latihan yang disediakan mampu memberi motivasi dan tunjuk ajar terbaik kepada peserta program itu.
“Kita bukan sahaja menyediakan kemudahan alatan bernilai RM4,980 seorang, tetapi dalam masa sama memberi bimbingan supaya peserta dapat memulakan perniagaan dengan kemahiran yang diberikan," katanya.

