CAMERON HIGHLANDS - Seramai 40 penuntut dari universiti teknologi dan politeknik empat negara Asia Tenggara Malaysia, Singapura, Thailand dan Myanmar menyertai program inap desa serta kerja sukarela di Kampung Orang Asli Pos Pantos, di sini baru-baru ini.
Kunjungan itu turut membabitkan seramai 10 penuntut dari Universiti Tekonologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Selangor (Unisel) ke perkampungan berkenaan.
Program di bawah Yayasan Antarabangsa Singapura (YAS) itu bertujuan mengeratkan hubungan persaudaraan antara belia di negara ASEAN menerusi bidang akademik berasaskan pembangunan teknologi pengurusan air, alam sekitar dan keusahawanan.
Kehadiran mereka diselenggarakan oleh sukarelawan Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan menyertai aktiviti tersebut yang diadakan selama sehari di perkampungan Orang Asli berkenaan.
Hadir sama Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk S.K Devamany; Exco MBM, Ahmad Daniar Ismail dan Penolong Pengarah Komunikasi Korporat YAS, Priscilla Teo.
Menurut Priscilla, program itu menjalinkan hubungan kerjasama budaya dan teknologi antara penuntut negara terbabit yang bergabung di bawah kegiatan sukarelawan anjuran YAS.
“Lawatan tersebut menjurus kepada kegiatan sukarela dalam membantu penduduk pedalaman di sini mengurus serta merawat air bersih secara betul.
“Kita mengaplikasi bidang teknologi berasaskan rawatan air bersih dan penjagaan alam sekitar kerana penduduk pedalaman di rantau ini berhadapan dengan ancaman global khususnya usaha menaik taraf kesihatan dan alam sekitar," katanya kepada pemberita di Pos Pantos, di sini baru-baru ini.
Seorang penuntut Universiti Teknologi Raja Mongkut, Bangkok, Penisia Yen Suang, 19, berkata, kunjungannya ke negeri ini untuk mengimplementasikan bidang teknologi pengurusan air di perkampungan berkenaan.
“Seperti di negara saya, kehidupan penduduk pedalaman tidak ada bezanya. Cuma apa perlu dilestarikan adalah penggunaan teknologi menguruskan air bersih secara betul dengan memasang penapis air di kepala paip yang merupakan antara penggunaan teknologi ringkas dan mudah," jelasnya.
Bagi penuntut Politeknik Ngee Ann, Singapura, Myat Mon Aung, 19, penyertaannya sebagai sukarelawan YAS bertujuan mengenali lebih dekat budaya penduduk di negara ini.
“Saya berpuas hati dan gembira kerana pertama kali menjejak kaki ke negara ini, sekali gus mengenali budaya penduduk Orang Asli dan masyarakat Melayu Hulu Jelai," katanya.


