TEMERLOH - Seramai 450 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) memulakan cabaran berkayak sejauh 187 kilometer merentasi Sungai Pahang ke Dataran Riverfront, Pekan bermula hari ini.
Program julung kali diadakan itu adalah anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Pusat Sukan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan turut disertai oleh penuntut kolej komuniti dan politeknik.
Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, program selama lima hari itu bertujuan menguji ketahanan mental dan fizikal para peserta, selain membantu kerajaan mempromosikan keindahan flora dan fauna.
Menurutnya, sebanyak 150 kayak akan singgah di lima kampung di sepanjang sungai tersebut, melibatkan Kampung Kuala Triang, Bera; Kampung Pesagi, Maran; Kampung Mambang dan Kampung Padang Rimbia di Temerloh sebelum berakhir di Riverfront, Pekan pada 30 Jun ini.
‘‘Ketika singgah di kampung-kampung tersebut, para peserta berpeluang berinteraksi dengan masyarakat setempat, di samping mengenali keunikan tradisi tempatan rakyat negeri ini.
“Interaksi itu memberi makna semangat Gagasan 1Malaysia yang menekankan aspek penerimaan dalam kalangan warga Malaysia," katanya pada majlis pelancaran program itu di Dataran Esplaned, di sini.
Ucapan beliau dibaca Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin.
Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
Antara IPT yang mengambil bahagian ialah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu; Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kelantan; Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu; Kolej Politech Mara Bangi dan Kolej Komuniti Hulu Langat, Selangor; Kolej Islam Sultan Haji Ahmad Shah (Kiksas) serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan.
Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan UMP, Jasni Ladin memberitahu, pihak penganjur menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM10,000 dengan juara membawa pulang RM2,500, naib juara (RM1,500) dan ketiga (RM1,000) manakala keempat hingga ke 10 turut menerima hadiah wang tunai.


