PEKAN - Kadar penembusan jalur lebar di negeri ini telah mencapai 50.1 peratus pada bulan ini berikutan usaha pihak pembekal telekomunikasi memperluaskan perkhidmatan mereka ke seluruh Pahang.
Pengarah Wilayah Timur Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohd. Shafie Harun berkata, kadar penembusan itu telah melebihi sasaran pihaknya yang sebelum ini menetapkan sebanyak 50 peratus sehingga akhir tahun ini.
“Penggunaan Internet merupakan satu keperluan pada masa kini dan kita sedang menjalankan usaha lebih agresif bagi mencapai sasaran 75 peratus menjelang 2015," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Pemberian Netbook 1Malaysia Untuk pelajar Sekolah Menengah Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Dewan Serbaguna Dara, di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun.
Dalam pada itu, katanya, seramai 1,329 pelajar dari empat sekolah menengah menerima peralatan tersebut bagi fasa kedua untuk DUN Chini.


