Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Berita Negeri - Warga Emas Buta Selepas Sakit Mata


KAMPUNG BUKIT GENTING - Berpunca dari sakit mata, seorang warga emas yang dahulunya seorang tukang masak reda apabila tidak dapat melihat lagi.

Jantan Wak, 84, kini hanya mampu menghabiskan masanya berehat di rumah sambil ditemani anak-anak.

Meskipun tidak mampu bergerak aktif seperti dahulu, namun dia masih boleh menguruskan diri sendiri.

Menurut anak keduanya, Mohd Razali, 44, bapanya mengalami masalah penglihatan bermula dengan sakit mata sejak 24 tahun lalu dan semakin teruk sehingga tidak boleh melihat lagi kira-kira empat tahun lalu setelah menjalani pembedahan mata.

“Lebih 24 tahun bapa saya hidup dengan pandangan mata yang kabur sebelum tidak boleh melihat langsung. Dahulu bapa aktif menjadi tukang masak untuk majlis kenduri dan di surau.

 “Namun sejak mengalami masalah penglihatan, bapa hanya duduk di rumah dan kami adik beradik yang menjaganya,” katanya.

Mohd Razali berkata, bapanya ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM70 sebulan.

Katanya, terbaru bapanya menerima sumbangan daripada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Program Ops Titi Parlimen Jerantut.

“Terima kasih kepada Jasa dan Wanita Umno Bahagian Jerantut yang sudi menziarahi bapa saya serta menyerahkan sumbangan wang tunai berserta beras.

“Keprihatinan mereka sangat kami hargai kerana ia sedikit sebanyak mengurangkan beban kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Genting, Mohd Suhaimi Jaafar berkata, pihaknya sentiasa mengenal pasti dan mengemas kini data penduduk supaya golongan yang layak menerima bantuan tidak keciciran.

Menurutnya, Jantan Wak antara warga emas yang diusulkan JKKK untuk menerima sumbangan di bawah program Ops Titi itu dalam usaha meringankan bebannya.

 “Program ini bukan sahaja membela nasib golongan memerlukan, namun kunjungan ziarah turut mengeratkan hubungan Jasa, Wanita Umno Bahagian Jerantut dengan masyarakat luar bandar di daerah ini,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...