![]() |
Menyedihkan |
KUANTAN – Mahasiswa yang sanggup berkhemah semata-mata memprotes pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebenarnya sudah menjadi kuda tunggangan pembangkang.
Mereka juga meletakkan diri pada tahap yang tidak selaras dengan intelektualnya dan gagal menjadi harapan kerajaan.
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, mahasiswa terbabit sepatutnya menghargai kebebasan yang diberikan kerajaan selepas Akta Universiti (Auku) dipinda.
“Pindaan Auku tidak semestinya memberi kebebasan penuh kepada mahasiswa mengubah hasrat kerajaan dan mengikut pembangkang sehingga diperalatkan dalam isu PTPTN,” katanya.
Beliau mencadangkan mahasiswa terbabit menggunakan saluran betul termasuk berdialog atau mengadakan forum bersama wakil kerajaan yang boleh mendengar luahan serta idea bagi menyelesaikan masalah itu.
Katanya, GPMS kini sedang memikirkan kaedah terbaik untuk membantu mahasiswa dan PTPTN supaya lebih mesra pelanggan.
Sementara itu, Persatuan Belia Kuantan kini sedang berusaha memberi kefahaman kepada semua belia di daerah ini supaya tidak terpengaruh dengan pembangkang.
Pengerusinya, Hasli Ilham Zulhasli berkata, tindakan memasang khemah di tempat awam tidak sepatutnya berlaku kerana mahasiswa adalah golongan yang mempunyai tahap pemikiran tinggi.
“Kenapa perlu mereka boikot PTPTN kerana penubuhan tabung itu memberi peluang kepada pelajar pelbagai kaum melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan mahasiswa terbabit membungkus khemah dan pulang semula ke universiti dan meneruskan pengajian untuk memberi kegembiraan kepada keluarga terutama ibu bapa.