Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Berita Negeri , UTAMA - WI Perluaskan Aktiviti


TEMERLOH - Perkumpulan Wanita (WI) di negeri ini disaran mempelbagaikan kegiatan terutama berkaitan kemasyarakatan dan keluarga bagi melahirkan rakyat yang bertanggungjawab, maju dan berdaya saing.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, sebagai golongan yang rapat dengan keluarga dan masyarakat, wanita boleh memainkan peranan bagi melakukan transformasi minda dalam usaha kerajaan membangunkan negara.

Katanya, banyak kegiatan boleh dilakukan oleh WI, antaranya ceramah, kursus keagamaan untuk anak-anak, remaja, belia dan suri rumah, latihan, seminar dan pelbagai aktiviti lagi untuk meningkatkan taraf hidup keluarga.

''Kerajaan yakin kepada kegiatan yang dijalankan WI dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang dilihat mampu memenuhi sasaran kerajaan untuk melahirkan rakyat berilmu, berdaya saing dan bertanggungjawab.

''Kerajaan negeri bersedia memberikan pandangan serta bantuan yang berpatutan bagi membolehkan persatuan terbabit bergerak aktif," kata Adnan ketika berucap pada Majlis Mesra 1Malaysia di sini baru-baru ini.

Kira-kira 500 ahli-ahli WI Daerah Temerloh menghadiri majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Tun Razak di sini.

Pada majlis itu, Adnan meluluskan peruntukan RM15,000 sumbangan kerajaan negeri bagi membolehkan WI Temerloh menjalankan aktivitinya sepanjang tahun ini.

Sementara itu, katanya, sebagai sebuah badan NGO, WI wajar mempelbagaikan kegiatan kerana ia merupakan badan bebas dan bukannya parti siasah.

"WI boleh melakukan apa juga kegiatan untuk kebaikan komuniti kerana semua bangsa boleh menyertainya dan ia tidak terikat dengan mana-mana parti siasah," katanya.

Adnan berharap WI akan menjadi sebuah perkumpulan yang dianggotai ramai ahli bagi memperkukuhkan lagi pertubuhan itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...