Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Berita Negeri - Konvensyen Ekonomi Ransang Pelaburan Negeri


KUANTAN 27 Feb. - Kerajaan negeri akan menganjurkan Konvensyen Ekonomi Negeri Pahang selama dua hari bermula Rabu ini yang bertujuan memberi penerangan mengenai perancangan dan pembangunan ekonomi negeri selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi Negara (NKEA).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, objektif penganjuran konvensyen oleh kerajaan negeri menerusi Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pahang itu juga bagi mendapatkan maklumat serta maklum balas daripada pelabur berhubung pembangunan ekonomi negeri.

Menurutnya, konvensyen yang diadakan di Hotel Zenith di sini diharap dapat menarik minat pelabur luar untuk mencari peluang pelaburan dalam sektor yang berdaya maju selain untuk menilai dan mencari langkah terbaik bagi menjana prestasi ekonomi.

"Dijangkakan seramai 1,000 peserta terdiri daripada wakil-wakil sektor industri, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT), ahli politik, ahli dewan perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghadiri konvensyen tersebut.

"Konvensyen yang akan bermula pukul 9 pagi itu akan dimulakan dengan ucaptama oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob bertemakan Pahang Menjana Transformasi," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Mahadiah Mohamad yang juga Ketua Urus Setia konvensyen di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Tambahnya, sebanyak lima sesi akan diadakan sepanjang konvensyen termasuk sesi perkongsian idea oleh penceramah jemputan, perbincangan untuk sembilan sektor utama, sesi pleno serta sesi penggulungan.

"Antara sektor utama yang akan dibincangkan pada sesi perbincangan meja bulat adalah pembuatan, pertanian, pelancongan, infrastruktur dan perumahan, pembangunan luar bandar dan seni kreatif," jelasnya.

Muhammad Safian berkata, bagi sesi perkongsian, antara topik yang akan dibincangkan adalah 'Senario Politik dan Sosioekonomi Dunia' oleh Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis.

"Turut terlibat dalam sesi perkongsian ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John yang akan membincangkan peluang dan insentif pelaburan di Pahang dan Pengarah Urusan Malaysian Solar Resources Sdn. Bhd., A.H Ong yang akan berkongsi rahsia kejayaannya dalam perniagaan.

"Pada hari terakhir konvensyen, diadakan sesi penggulungan sektor utama yang akan dibentangkan oleh moderator utama, Datuk Seri Aziz Abdul Rahman dan ahli panel serta ucapan penggulungan oleh Menteri Besar Pahang," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...