BENTONG 27 Feb. - Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) tiada kaitan dengan pilihan raya, sebaliknya ia membuktikan kerajaan menunaikan tanggungjawab dalam membela nasib rakyat yang kurang berkemampuan.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak berbohong kepada rakyat dan akan menunaikan setiap janji yang dibuat dalam pembentangan Bajet 2012.
Menurutnya, walaupun bantuan itu kecil iaitu sekadar RM500 sahaja tetapi pemberian itu membuktikan kerajaan telus, jujur dan tidak menabur janji palsu semata-mata untuk menyedapkan hati rakyat.
"Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat yang terbaik bagi meningkatkan taraf hidup rakyat pelbagai kaum di negara ini.
"Pelbagai transformasi ekonomi dan pentadbiran yang dilakukan Perdana Menteri terbukti membuahkan hasil dengan kejayaan yang cukup memberangsang," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian BR1M kepada peneroka Felda Kemasul dan Sungai Kemahal dekat sini semalam.
Menurutnya, keberanian Perdana Menteri melakukan transformasi itu memberi impak besar kepada rakyat dan ekonomi negara.
"Angin perubahan politik serta sokongan rakyat kini yang memihak kepada kerajaan membimbangkan pembangkang sehingga memaksa mereka membuat pelbagai fitnah kononnya kerajaan menipu rakyat," katanya.
Adnan turut mengingatkan peneroka supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan dan janji pembangkang yang cuba menghasut mereka menafikan sokongan kepada kerajaan.