![]() |
Gambar Fail |
JERANTUT - Pusat Pengembangan Kemahiran IKIP (IASC) mengadakan program jelajah kemahiran institut itu di sini bagi memberi peluang kepada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendalami kemahiran berkaitan kejuruteraan, hospitaliti, komunikasi dan pengurusan.
Program jelajah berkenaan telah diadakan di 10 tempat termasuk Maran dan Temerloh sebelum tiba di pekarangan Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen Jerantut di Bandar Baharu Inderapura.
Konvoi tersebut disambut oleh Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris yang turut bersama menjelajah dan bertemu dengan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin, SMK Jerantut dan SMK Inderapura.
Seramai 30 penuntut IASC terbabit dengan program itu untuk mengedarkan risalah dan penerangan mengenai kursus kemahiran di IASC bertujuan melahirkan lebih ramai profesional bumiputera dalam bidang teknikal serta pengurusan termasuk keusahawanan.
Penolong Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat dan Antarabangsa IKIP, Nornahar Ghani berkata, program yang diadakan secara berkonvoi itu merupakan segmen dalam mempromosi bidang kursus kemahiran IKIP khususnya peluang bagi pelajar lepasan SPM.
"Komitmen IASC untuk memberi pendedahan kepada mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ataupun berminat dengan pelbagai kemahiran teknikal serta pengurusan dengan mengikuti kursus di IKIP," katanya baru-baru ini.
Menurutnya, antara kursus ditawarkan iaitu perhotelan dan katering, teknologi maklumat dan komunikasi, perladangan, juruteknik elektrik, reka bentuk fesyen, automatif dan program tambahan bidang keusahawanan termasuk akademik.
Sementara itu, Ahmad Nazlan berkata, program IASC antara sebahagian pengisian pembangunan berasaskan transformasi modal insan khususnya peluang untuk golongan tersebut dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah menimba kemahiran di institut tersebut.
"Penjelajahan ini amat relevan kerana maklumat boleh terus sampai kepada kumpulan sasaran di samping kemudahan pendaftaran kursus yang efisien diselenggarakan oleh IASC," katanya.
Tambahnya, peranan IASC menyuntik kemahiran pelbagai bidang dalam kalangan remaja dan belia berada pada landasan yang betul untuk memacu pembangunan negeri ini sekali gus perubahan hidup penduduk di luar bandar.