NEW DELHI - Malaysia hadir di New Delhi bersama pasukan yang dianggap paling lemah, namun pemain-pemain negara membuktikan semangat juang tinggi berjaya mengatasi segala keraguan dengan melangkah ke final Piala Thomas buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun selepas menundukkan juara 13 kali, Indonesia 3-0 malam tadi.
Malah, beberapa jam sebelum perlawanan, keyakinan bahawa peluang untuk merampas kejuaraan Piala Thomas buat kali pertama selepas 22 tahun cukup cerah setelah melihat Jepun mengejutkan gergasi dunia, China 3-0 turut menjadi motivasi tambahan buat pasukan negara.
Datuk Lee Chong Wei, Tan Boon Heong-Hoon Thien How dan Chong Wei Feng, semuanya memberi aksi terpuji biarpun terpaksa mengharungi perlawanan mendebarkan sebelum melakar kemenangan.
Chong Wei dipaksa berhempas pulas di set pertama sebelum menjinakkan Tommy Sugiartro 21-19, 21-13 untuk menghadiahkan mata semangat buat pasukan negara.
Selepas gagal menghadiahkan mata dalam pertemuan menentang Denmark di suku akhir, gandingan senior, Boon Heong-Thien How kembali menunjukkan taring dengan mengejutkan juara dunia dan pasangan No. 1 dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 8-21, 23-21.
Daripada sekadar pemain simpanan pada penampilan sulung Piala Thomas di Wuhan, dua tahun lalu, Wei Feng sekali lagi menjadi wira dengan menghadiahkan mata kemenangan Malaysia selepas menumpaskan Dionysius Rumbaka 21-10, 21-17.
Bagi Chong Wei dan Wei Feng, mereka adalah tonggak penting yang membawa kepada kejayaan Malaysia ke perlawanan akhir apabila memenangi semua lima perlawanan setakat ini.
"Memang amat teruja apabila berjaya melangkah ke final sekali lagi. Saya tidak merasai pengalaman perlawanan akhir terakhir Malaysia dan gembira melihat pemain-pemain muda ini berjaya menunjukkan semangat juang yang tinggi.
"Selepas tiba di sini, ramai yang memandang rendah kemampuan Malaysia, apatah lagi kami dikatakan hadir sebagai pasukan paling lemah, namun hari ini kami membuktikan mereka silap dengan berjaya melangkah ke final.
"Saya tidak pernah anggap peluang Malaysia untuk merampas kejuaraan adalah cerah selepas Jepun menewaskan China dalam separuh akhir pada sebelah petang, pada saya berdepan Jepun juga bukan mudah dan mereka adalah lawan yang kental.
"Yang paling penting buat semua pasukan adalah fokus kepada permainan sendiri. Kami sudah menyahut cabaran persatuan yang mahu pasukan melangkah ke final, sekarang terpulang kepada kami untuk mencari keputusan lebih baik," kata Chong Wei.