Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Sukan Dan Hiburan - Pahang Kekal Tangga Teratas Liga Super


KUALA LUMPUR - Pahang berjaya merampas kedudukan teratas Liga Super daripada Terengganu selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas T-Team di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam Sabtu.

Dengan kemenangan tersebut skuad Tok Gajah kini mengumpul sebanyak 22 mata dengan perbezaan dua mata di hadapan pencabar utama, Terengganu dan Selangor yang masing-masing mengumpul 20 mata.

Pahang menjaringkan gol pertama menerusi penyerang berasal dari Argentina, Matias Ruben Conti pada minit ke-60.

Zeshan Rehman kemudianya mengesahkan kemenangan bagi pasukan Tok Gajah apabila menjaringkan gol hasil tandukan pada minit ke-88.

Selangor terus kekal di kedudukan kedua carta liga setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh.

Paulo Rangel menjadi wira skuad Gergasi Merah apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-21 hasil sepakan penalti selepas S. Veenod dijatuhkan oleh pemain Perak.

Kelantan turut mengutip tiga mata penuh selepas mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu.

Pemain import'The Red Warriors', Mohamed Shawky Aly menanduk hantaran silang dari kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi, pada minit ke-60.

Pasukan Lions XII pula mengalahkan pasukan Sime Darby 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Lions XII berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-52 hasil tandukan yang dilakukan oleh Muhammad Safuwan Baharudin.

Selang 10 minit kemudian, pasukan dari Singapura itu menggandakan jaringan menerusi Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...