Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Politik Isu Semasa - RM2.63 Juta Bantu OKU Mulakan Perniagaan


PUTRAJAYA 3 Jan. - Seramai 526 Orang Kurang Upaya (OKU) menerima bantuan barangan permulaan perniagaan berjumlah RM2.63 juta menerusi program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) Teman 1Azam OKU.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, bantuan tersebut bagi membantu para OKU mengembangkan lagi perniagaan mereka dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan.

Menurutnya, bantuan berupa peralatan perniagaan dan wang tunai itu diharap dapat meringankan beban OKU yang ingin meluaskan lagi perniagaan dalam pelbagai cabang termasuk mengusahakan kedai makan dan minuman.

''Jika kita beri bantuan RM300 sebulan, ia memang tidak mencukupi dan jika kita mahu tambah bantuan kepada RM500 kerajaan kena tambah peruntukan RM2.4 bilion.

''Sekarang ini kita beri joran untuk mereka pancing ikan dan bukannya dalam bentuk ikan semata-mata kerana selain kementerian ini, Kementerian Sumber Manusia turut memberikan geran untuk membantu OKU memulakan perniagaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Hadzir Md. Zin.

Menurut Shahrizat, bantuan tersebut mampu melonjakkan potensi OKU untuk meningkatkan taraf hidup mereka selain mengurangkan kebergantungan bantuan sara hidup bulanan kepada kerajaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...