KUANTAN - Dewasa ini, masyarakat Malaysia umumnya sering kali dihidangkan dengan pelbagai spekulasi dan tohmahan yang bukan - bukan.
Pelbagai isu telah sengaja diputar belitkan oleh pihak tertentu bagi tujuan untuk memesongkan pandangan rakyat terhadap hakikat sebenar.
Ia bukan sahaja menjejaskan Perpaduan diantara kaum, malah ia juga turut mengganggu gugat kestabilan serta mewujudkan rasa tidak tenteram dikalangan masyarakat.
Oleh yang demikian, YAB Dato' Sri Diraja Haji Adnan Bin Haji Yaakob menyeru agar belia memberi sumbangan dalam memperjelaskan isu sebenar kepada masyarakat, terutama dikalangan anak - anak muda sendiri.
Golongan ini seringkali menjadi sasaran kerana mereka merupakan golongan yang sangat mudah untuk dipengaruhi.
"Dengan adanya ruang tanpa sempadan, segala perkara yang dibangkitkan hanya dianggap benar oleh mereka tanpa memikirkan sama ada ianya benar atau tidak.
Malah tindakan sesetengah pihak memutar belitkan isu menjadikan belia semakin keliru dan menolak kebenaran secara terang - terangan," jelas beliau sewaktu melayani kunjungan ramah mesra Majlis Belia Negeri Pahang semalam.
Tambah beliau, pihak - pihak yang tidak bertanggungjawab ini memang jelas sengaja mahu membangkitkan rasa benci dikalangan rakyat terhadap pihak Kerajaan.
Dengan menjadikan isu pembinaan kilang nadir bumi di Gebeng sebagai contoh, beliau menyatakan perkara itu hanya dijadikan bahan Politik oleh mereka demi kepentingan peribadi untuk meraih sokongan.
"Maka belia sewajarnya memainkan peranan dalam menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat demi memelihara keamanan Negara dimasa akan datang," katanya lagi.