Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Agama - Pentingnya Umat Islam Menjaga Aqidah

KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyebut tentang baiknya nasib umat Islam/Melayu di negara ini ekoran penegasan soal akidah yang telah diajarkan kepada mereka sejak dahulu.

“Kita bernasib baik kerana orang Melayu, orang Islam di negara kita ini, dahulu terutamanya, mementingkan soal akidah.  Itu sebabnya, apabila kita pergi ke kelas ugama mengaji Quran, salah satu mata pelajaran asas yang diajar ialah ‘maqa’id’.

“Walaupun orang tak bersetuju dengan sifat 20 sebagainya, itu soal lain. Tapi sekurang-kurangnya dalam ‘aqa’id’ ini, kita diajar siapakah Allah sebenarnya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Beliau berkata demikian dalam ucapan luar teks 16-minitnya sempena merasmikan Wacana Antarabangsa Intelek Islam anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Yayasan Pahang pada petang Selasa, 19 Ogos di sini.

Wacana ini bertemakan, ‘Aqidah Murni Pusaka Nabi Muhammad SAW: Isu Kecelaruan Aqidah Umat Islam Kini, Cabaran dan Penyelesaiannya’ yang menampilkan ulama Azhari, Sheikh Dr Usama El Sayyed Mahmoud Al Azhari dan Sheikh Saed Mahmoud Foudah selaku pembentang-pembentang kertas kerjanya.

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, semasa beliau masih bersekolah juga lagi, betapa antara yang penting diajarkan kepadanya ialah untuk mengenal Allah SWT dengan mempelajari sifat-sifatNya.

“Saya bukan (bermaksud hendak) menunjuk saya pandai, bukan ujub, riak, takabbur. Tapi berkongsi pengalaman. Orang dahulu memang belajar… soal akidah ini memang diutamakan,” tegasnya.

Beliau seterusnya membandingkan dengan zaman sekarang apabila dikesani, pelbagai fahaman sudah menular ke dalam masyarakat.

“Saya tidak ingin menyebut mana-mana pihak tetapi hakikatnya, kita yang mendakwa sebagai ahli sunnah wal jamaah inipun dicelarukan oleh mereka yang bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah, dari mazhab lain; tetapi mengakui mereka itu sebahagian daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Itu sebabnya seminar hari ini sangat penting, sekurang-kurangnya kita mendapat fahaman yang jelas mengenai akidah itu sendiri. dan kita akan mengetahui apakah itu Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.   

Akidah pula menurutnya, adalah penting yang jika terpesong atau terkeluar daripada  landasan yakni tidak mengikut apa yang telah ditentukan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah katanya, maka kita akan berada dalam kesesatan.  

“Untuk mendapatkan akidah yang sebenarnya, tak cukup dengan kita hanya setakat belajar di sekolah kemudian kita tinggal sdetakat itu sahaja. Bahkan, kita wajib belajar berterusan, mendengar termasuklah seperti menghadiri majlis kita pada hari ini,” katanya lagi.

Nabi Muhammad SAW katanya, ada bersabda yang mafhumnya, akidah umat Islam akan berpecah kepada 73 puak dan hanya satu yang diiktiraf iaitulah mereka yang berpegang kepada akidah Ahlil Sunnah Wal Jamaah.

“Oleh sebab itu kita kena mengetahui dengan jelas maksud akidah, juga maksud Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Tags: Agama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...