Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Berita Negeri - Zakat Fitrah Pahang Kekal RM7


KUANTAN - Kadar zakat fitrah untuk negeri Pahang pada tahun ini sama seperti sebelum ini iaitu RM7 selepas kadar bayaran tersebut mendapat perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, penetapan kadar zakat fitrah itu mengambil kira harga beras semasa.

"Sehubungan itu, Muip melantik seramai 945 amil yang akan bertanggungjawab melaksanakan urusan tersebut sepanjang bulan Ramadan ini.

"Justeru, umat Islam di negeri ini dinasihatkan supaya memastikan mereka membayar zakat fitrah kepada amil yang mempunyai kad kuasa dan resit bayaran yang dikeluarkan oleh Muip," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Wan Abdul Wahid menasihatkan umat Islam mengambil berat berkenaan pembayaran zakat fitrah kerana ia berkait rapat dengan ibadat puasa yang dilaksanakan.

"Statistik kutipan zakat fitrah di negeri ini menunjukkan masih terdapat individu yang tidak melaksanakannya kerana jumlah kutipan tidak menunjukkan peningkatan sedangkan jumlah umat Islam semakin bertambah.

"Pada tahun lalu kutipan sebanyak RM5.7 juta dan jumlah tersebut sama pada tahun sebelumnya," jelasnya sambil memberitahu mereka yang ingkar boleh didenda dan dipenjarakan jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, katanya, sesiapa yang didapati membayar zakat fitrah kepada amil yang tidak bertauliah adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 173 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya," ujarnya.

Selain itu, katanya, pembayaran zakat juga boleh dilakukan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi pengguna Celcom dan Digi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...