Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Berita Negeri - Ahli Perlu Beri Komitmen Dalam Berpersatuan


KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan para belia agar dapat memberikan komitmen dan bersemangat tinggi dalam memajukan persatuan belia masing-masing.

Menurutnya, ketika beliau masih belasan tahun lagi dengan menyertai Persatuan Belia Bersekutu Mukim Bentong (PBBMB), banyak aktiviti belia dapat dilakukan secara sukarela dan dengan peruntukan yang terhad.     

“Bukan pula saya ingin menyatakan di sini iaitu Saudara-saudari mesti menghabiskan wang ringgit (sendiri) untuk kegiatan belia, tidak...

“Tetapi yang saya maksudkan ialah supaya sekurang-kurangnya komitmen, semangat itu mesti ada untuk memajukan persatuan belia kita,” katanya dalam ucapan luar teks 17-minit pada Malam Anugerah Belia Negara peringkat negeri 2014, Selasa, 10 Jun di sini.

Menurutnya lagi, menerusi penglibatan dalam persatuan belialah seseorang berpeluang untuk melatih diri dalam aspek kepimpinan – sama ada dalam kedudukan sebagai pengerusi mahupun jawatan-jawatan lain.  

Dan beliau percaya betapa dalam persatuan belia di negeri ini, tidak banyak politiking seperti gejala guling-mengguling atau menganjurkan undi tidak percaya terhadap pemimpin.

“Seboleh-bolehnya biarlah kegiatan belia ini kita laksanakan sebaik-baiknya dan dalam masa pemilihan, biarlah proses itu berjalan supaya mereka yang ada ketokohan akan ke hadapan.

“Dan kita sebagai orang yang menyokong tetap menyokong, kalau ada yang menjadi ahli biasa, biarlah (berperanan sebagai) ahli biasa,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menyarankan agar golongan belia – selain memastikan mereka mendapat perhatian sewajarnya daripada Kerajaan, mereka juga mesti sedar betapa mereka adalah golongan yang penting dalam negara.

“Bermakna, kalau golongan belia kita ini mempunyai prestasi yang tinggi dalam bidang pendidikan, mempunyai disiplin yang tinggi dan setiap perkara yang kita lakukan, laksanakan adalah mengikut kaedah-kaedah tertentu yang menjamin kejayaan sesuatu perkara yang kita lakukan itu, maka ini akan menjamin masa depan negara,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...