Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Berita Negeri , UTAMA - Pahang Raih Pelaburan Tertinggi ECERDC


PUTRAJAYA – Pahang mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih nilai pelaburan terbesar sebanyak RM30,460 juta atau kira-kira 48 peratus daripada keseluruhan RM63,580 juta nilai pelaburan yang memasuki negeri-negeri di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sehingga kini.

Angka ini ialah bagi tempoh kira-kira tujuh (7) tahun sejak penubuhan ECER pada tahun 2007, hinggalah ke akhir suku pertama tahun ini pada Mac lepas (2014).

Di belakang Pahang ialah Terengganu, dengan nilai kemasukan pelaburan sebanyak RM22,777 juta atau kira-kira 36 peratus; disusuli Kelantan, cuma RM9,740 juta atau kira-kira 15 peratus; dan, daerah Mersing, Johor, hanya RM610 juta atau kira-kira satu (1) peratus.

Angka-angka ini ada dinyatakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak Najib pada Majlis Penyerahan Rancangan Alam Sekitar Utama di negeri-negeri dalam ECER pagi Jumaat, 25 April di sini.

Majlis ini menyusul selepas Dato’ Sri Mohd Najib mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan ECER (ECERDC). Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir, begitu juga dengan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; serta juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Sri Ahmad Said; Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob; Menteri Besar Johor, Dato’ Sri Mohamad Khaled Nordin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Abdul Wahid Omar; serta, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa; dan, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John.

Perdana Menteri turut mengumumkan kejayaan ECER menarik pelaburan kira-kira RM24,450 juta bagi tempoh suku pertama tahun ini sahaja lalu menyumbang kepada nilai pelaburan keseluruhan RM63,580 juta bagi tempoh tujuh (7) tahun ini.

Kejayaan ini menurutnya, adalah melepasi lebih daripada 57 peratus daripada sasaran pelaburan ke negeri-negeri di bawah ECER ini yang sebanyak RM110,000 juta menjelang tahun 2020.

“Pelaburan ini akan mewujudkan lebih daripada 65,000 peluang pekerjaan untuk rakyat, yang terdiri daripada 6,601 profesional, 19,800 pekerja mahir dan 39,599 pekerja separa mahir di ECER,” kata Dato’ Sri Mohd Najib sepertimana laporan berita oleh BERNAMA.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...