KUALA LUMPUR - Kerajaan China amat berbesar hati dan menghargai usaha kerajaan Malaysia dalam operasi mencari pesawat penerbangan Malaysia Airlines Penerbangan MH370.
Duta Besar China di Malaysia Huang Huikang juga menyifatkan usaha Malaysia sebagai 'cemerlang'.
Beliau menambah bahawa kejadian itu tidak akan menjejaskan hubungan baik antara Kuala Lumpur dan Beijing, namun ia sebaliknya telah mewujudkan persefahaman yang mendalam antara Malaysia dan China.
Ia akan membantu kedua-dua negara mengambil peluang untuk terus mempertingkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang, katanya dalam sidang akhbar di Kedutaan China di sini hari ini.
"Malaysia dan China adalah keluarga, kami merupakan rakan kongsi yang baik, kami adalah kawan dan jiran yang baik. Jangan bimbang...ini hanya satu insiden yang tidak memberi kesan kepada hubungan baik kita," katanya.
"Saya juga mendapati, sejak dari awal lagi Malaysia telah memainkan peranan penting dalam operasi SAR (mencari dan menyelamat). Bekerja keras dan telah melakukan banyak usaha untuk menjaga keluarga penumpang pesawat dari China.
"Kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas persahabatan anda terutamanya para sukarelawan. Ketika dalam waktu yang sukar ini dan sentiasa berada di sisi," tambahnya.
Huang juga menolak spekulasi bahawa kerajaan Malaysia cuba untuk menyembunyikan maklumat dan menegaskan bahawa ketelusan itu boleh dilihat melalui taklimat harian media oleh pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
"Apa yang boleh saya katakan, sikap yang diambil oleh Malaysia dalam menangani kejadian ini sangat serius. Saya percaya kerajaan Malaysia telah melakukan yang terbaik," katanya.