Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Berita Negeri - Hati-Hati Dengan Agensi Pengurusan Harta


KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) meminta umat Islam supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan agensi yang menawarkan perkhidmatan pengurusan wasiat dan harta pusaka.

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, terdapat agensi mengambil kesempatan terhadap orang Islam yang kurang arif mengenai harta pusaka sehingga mengenakan bayaran mencecah RM3,000.

“Sedangkan jika permohonan dibuat melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), tiada bayaran permohonan pun dikenakan.

“Bayaran perkhidmatan hanya dikenakan setelah permohonan selesai dan jumlahnya adalah minimum berdasarkan kepada jumlah harta pusaka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Pengurusan Harta Pusaka peringkat negeri, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Seri Azemi Kasim serta pemimpin-pemimpin masyarakat, pentadbir tanah daerah dan pengurus-pengurus tanah rancangan Felda dan Felcra.

Program itu bertujuan memberikan input yang berkesan serta menambahkan kefahaman peserta kursus yang merupakan sumber rujukan masyarakat bagi menyelesaikan isu dan permasalahan berkaitan harta pusaka.

Sementara itu, Wan Abdul Wahid meminta umat Islam supaya tidak keliru dengan kandungan drama dan filem yang menyiarkan mengenai wasiat dan pembahagian harta pusaka kerana kebanyakannya tidak menepati hukum syarak.

“Bukan setakat filem Melayu lama, dalam drama baharu sekalipun, ada adegan yang mana si mati mewasiatkan 80 peratus daripada hartanya kepada seseorang dan ini menambah kekeliruan masyarakat.

“Al-Quran telah menyatakan hukum dan cara pembahagian harta pusaka dalam kalangan waris, dengan tujuan untuk memberi keadilan kepada semua waris dan mengelak pergaduhan di antara mereka, ini perlu diikuti," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...