KULIM - Seramai 800 peserta Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan berkhidmat secara sukarela bagi membantu melancarkan pergerakan temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Kuantan, Pahang bulan depan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata ini merupakan penyertaan kali kedua peserta PLKN dalam temasya sukan itu.
"Kami berharap dengan penyertaan itu, mereka akan dapat menimba banyak pengalaman khususnya dalam bahagian sukan," katanya kepada Bernama ketika mengiringi lawatan isteri Menteri Pertahanan Datin Seri Hamidah Khamis ke Asrama Persatuan Bekas Tentera Kulim, di sini semalam.
Beliau berkata langkah itu juga untuk mendedahkan peserta dengan kerja sukarela di samping mendekatkan mereka dengan disiplin kerja yang bersistem.


