Dalam hal ini Allah berfirman: Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembang dan menyebarkan Islam), menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang mungkar (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian, ialah orang-orang yang berjaya. (ali Imran: 104).
Pendek kata, dakwah itu sangat meluas konsepnya. Jika semua orang berdakwah iaitu mengajak ke jalan kebaikan dan menjauhi kemungkaran tidak akan ada perbuatan buruk berlaku dalam masyarakat seperti ragut, merempit di jalan raya, penyalahgunaan dadah, seks bebas dan pembuangan bayi.
Sikap mengambil tahu hal orang lain dan menasihatinya ke jalan yang di redai Allah SWT adalah sikap yang baik. Sikap hedonisme iaitu sikap mementingkan diri sendiri dan tidak mengambil tahu hal orang lain adalah unsur yang dibawa dari Barat. Dalam Islam perpaduan umat itu ibarat satu bangunan yang menyokong kebaikan antara satu sama lain.
Dalam hal ini Nabi bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya agama ini mudah dan tiada seorang yang menyulitkan agama, kecuali pasti dikalahkannya. Bertindaklah tepat, lakukan pendekatan, sebarkan berita gembira, permudahkan dan gunakan siang dan malam hari serta sedikit waktu fajar sebagai penolongmu. (riwayat al-Bukhari)
Oleh itu, dalam berdakwah ini tidak ada apa yang perlu disusahkan dan disukarkan, semuanya boleh dipermudahkan, asalkan kita mahu melakukannya.
Kejayaan seseorang pendakwah banyak bergantung pada usaha dan kemahuan yang sentiasa dilakukan dalam aktiviti berdakwah.
Melaksanakan kerja-kerja dakwah adalah tugas yang paling murni dan mulia di sisi Allah, kerana ia menyeru manusia supaya beriman kepada Allah dan beribadat hanya kepada-Nya.
Di samping itu, dakwah juga mengajak manusia supaya melakukan perkara yang makruf (baik) dan menjauhi yang mungkar (keji). Natijah daripadanya akan mewujudkan keharmonian dan kebahagiaan hidup dalam masyarakat serta memperoleh keredaan Allah di dunia dan akhirat.
Pada masa kini, kita berada di era langit terbuka dan era globalisasi dengan perkembangan teknologi sehingga terciptanya alat komunikasi yang serba canggih.
Oleh itu, semua orang boleh berdakwah mengajak ke arah kebaikan. Ingatlah, walau dengan menyampaikan satu ayat yang menyeru ke arah kebaikan juga adalah satu dakwah.
Bagaimanapun, kerja-kerja dakwah yang kita lakukan itu mestilah ikhlas semata-mata kerana mengharap keredaan Allah SWT, bukan untuk kepentingan peribadi dalam bentuk duniawi.


