WAKIL syarikat Polytan, Garry J Walker memberi taklimat kepada Tengku Abdullah dan Negre (tiga dari kiri) ketika membuat lawatan ke Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan bagi meninjau persiapan SUKMA 2012, petang semalam.
PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengesahkan jurulatih import bakal melatih skuad negara dalam usaha mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.
Tengku Abdullah berkata, setakat ini tiga nama sudah dikenal pasti mengendalikan skuad negara selepas aksi kurang memberangsangkan pada kejohanan Piala Sultan Azlan yang berakhir di Ipoh, kelmarin.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengumumkan nama jurulatih berkenaan kerana semua perkara berkaitan kontrak masih dalam tahap perbincangan.
“Memang ada beberapa jurulatih luar yang berminat melatih skuad negara tetapi kami tidak mahu terburu-buru untuk mendapatkan khidmat mereka. Saya juga tidak dapat mengumumkan jurulatih berasal dari negara mana,” katanya selepas meninjau kerja menaik taraf Stadium Hoki Kuantan, semalam.
Turut sama meninjau kerja pembinaan itu ialah Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Leandro Negre.
Pengambilan jurulatih import menyaksikan khidmat Tai Beng Hai sebagai jurulatih negara berakhir.
Mengulas prestasi skuad negara pada Piala Sultan Azlan Shah, Tengku Abdullah ternyata kecewa dengan prestasi skuad negara berdasarkan sasaran awal adalah meraih empat pasukan terbaik.
Bagaimanapun, katanya, ada hikmah di sebalik prestasi kurang bertenaga itu kerana ada beberapa pemain remaja menarik perhatian kelab dari luar negara untuk mendapatkan khidmat mereka.
“Bagi saya ia permulaan yang baik buat pemain muda mendapatkan lebih pengalaman apabila beraksi di luar negara. Oleh itu, mereka yang dipilih nanti diharap mempamerkan prestasi mantap,” katanya.

