KUANTAN – Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang diumumkan hari ini merupakan pencapaian terbaik negeri ini dalam tempoh empat tahun.
Pengarah Pelajaran Pahang, Yahya Zainal Abidin berkata, pencapaian tersebut berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) yang mencatatkan 2.65 mata berbanding pada 2008 iaitu sebanyak 2.76 mata, 2009 (2.76) dan 2010 (2.65).
“Daripada 25,658 calon yang mendaftar, seramai 1,782 calon cemerlang dengan mendapat semua A, manakala seramai 16,340 berjaya menguasai semua mata pelajaran.
“Bagaimanapun, bilangan calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran menurun daripada 0.075 peratus kepada 0.004 peratus pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Yahya, Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) turut mencatatkan peningkatan kecuali bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Pendidikan Islam .
“Walaupun prestasi Bahasa Melayu bagi gred A menurun sebanyak 2.82 peratus tetapi peratusan calon yang mendapat gred B, C dan D meningkat berbanding tahun lalu,” jelasnya.
Tambahnya, pencapaian calon di bandar dan luar bandar termasuk calon Orang Asli bertambah baik pada setiap tahun.
“Dalam pada itu, calon berkeperluan khas juga menunjukkan pencapaian yang baik iaitu peningkatan dalam menguasai semua mata pelajaran,” ujarnya.
Ps: Bagi pihak Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, kami turut mengucapkan ribuan tahniah kepada semua pelajar yang lulus dengan cemelang dalam Peperiksaan Menengah Rendah kali ini.
Didoakan agar mereka terus memperolehi kecemerlangan dalam kehidupan dan menjadi insan yang terbilang dimasa akan datang.