Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Berita Negeri - Dua Pasaraya Diminta Henti Jualan Coklat Cadbury


JERANTUT - Penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) cawangan Jerantut meminta pengurusan dua buah pasar raya di bandar ini supaya menghentikan penjualan coklat jenama Cadbury serta-merta berikutan penemuan asid deoksiribonukliek (DNA) babi dalam dua jenis coklat jenama itu baru-baru ini.

Operasi pemantauan berkenaan yang diadakan semalam diketuai Ketua Cawangan PPDNKK Jerantut, Che Hanafi Mamat dan turut disertai pihak polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan, Pegawai Hal Ehwal Pengguna Parlimen Jerantut, Jabatan Agama Islam Pahang dan Jabatan Veterinar negeri.

Che Hanafi ketika ditemui berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai mengenai dua pasar raya terbabit yang masih menjual dua jenis coklat jenama itu.

''Kita menasihati pengurusan pasar raya supaya tidak mempamer dan menjual produk berkenaan iaitu jenis Cadbury Milk Rosted Almond dan Cadbury Milk Hazel Nut.

''Kita berharap semua peniaga di daerah ini menghentikan jualan dua produk berkenaan selama tujuh hari sehinggalah keputusan laporan siasatan kajian DNA diumumkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),'' katanya kepada pemberita di sini.

Menurut beliau, semua premis dan pengusaha pasar raya diminta memberi kerjasama dan bersabar serta memahami arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

''Dalam tempoh ini, pemantauan dilaksanakan oleh penguatkuasa PPDNKK di sini di semua premis serta pasar raya di bandar Jerantut dan Kuala Lipis sambil menasihatkan mereka memberhentikan penjualan itu sebelum arahan selanjutnya dikeluarkan oleh pihak berkuasa,'' ujarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...