RAUB - Tradisi pemimpin UMNO turun padang mengatasi masalah rakyat tanpa bermusim perlu lebih kerap dilakukan kerana selari dengan matlamat aku janji kerajaan mensejahterakan rakyat, memakmurkan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, perubahan pola iklim politik semasa memerlukan pemimpin UMNO proaktif menemui rakyat tanpa menunggu mereka datang untuk mengadu masalah.
Jelasnya, pemimpin UMNO perlu menyusur akar menjelajah dan menemui serta membantu golongan memerlukan seperti warga emas, pesakit terlantar, anak yatim dan lain-lain.
"Jika setiap pemimpin dan anggota parti di semua peringkat berbuat demikian seperti pemimpin UMNO terdahulu, rakyat akan berasa selesa dan sentiasa mengenang jasa sekali gus menyokong parti kita.
"Setiap pemimpin parti tidak boleh lari daripada tanggungjawab ataupun berpuas hati dengan pencapaian sedia ada sebaliknya perlu bekerja keras bagi mengembalikan keunggulan parti seperti mana pada masa lepas," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan ziarah penduduk serta pesakit kronik sempena program Menteri Besar Turun Padang di Kampung Batu Talam di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab.Moin; Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Abd. Aziz Mat Kiram.
Dalam siri lawatan itu, Adnan melawat beberapa buah keluarga miskin, orang tua dan pesakit kronik serta bertanya khabar dan mengatasi bebanan mereka terbabit.
Beliau berkata, lawatan dan ziarah tersebut merupakan kesinambungan yang telahpun diadakan sebelum ini dan ia akan berterusan dengan menjelajah ke setiap daerah di negeri ini.
Adnan meminta keluarga pesakit melapor kepada wakil rakyat, pemimpin tempatan atau terus kepadanya bagi mendapatkan bantuan sesuai bagi mengurangkan bebanan keluarga pesakit terbabit.
"Tanpa laporan dan maklumat itu maka pemimpin tidak tahu dan sukarlah untuk diberikan bantuan dan mengatasi masalah mereka," katanya. - Sumber: Utusan