KUANTAN – Kebakaran hutan di satu kawasan di kawasan perindustrian Gebeng dekat sini semalam, ialah kebakaran hutan biasa yang tiada kaitan dengan projek pemprosesan tanah jarang Lynas Malaysia Sdn Bhd di sana.
Menurut Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, beliau telah dimaklumkan sendiri oleh Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Dato’ Abdul Wahab Mat Yasin bahawa kebakaran itu berlaku berhampiran dengan kilang berkenaan.
“Kebakaran (yang berlaku) berhampiran dengan kilang Lynas itu adalah kebakaran hutan biasa, tiada kaitan dengan Lynas,” katanya pada persidangan media sempena Majlis Kecemerlangan Kokurikulm Negeri Pahang anjuran Yayasan Pahang, Khamis, 6 Mac di sini.
Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan tentang tohmahan oleh pencemuh-pencemuh projek pemprosesan tanah jarang itu bahawa kebakaran hutan yang berlaku di situ semalam, ialah angkaranya.
Dalam nada menyindir, kata Dato’ Sri DiRaja Adnan; “Kita ingat dulu bukan, bila Lynas dirikan di situ kilang, ada orang nak bakar kilang Lynas tu. Sekarang dia (pencemuh-pencemuh berkenaan) dah tak payah bakar, dekat Lynas dah terbakar. Apa nak beriya sangat?”
Menurutnya, kebakaran hutan di negeri ini merupakan fenomena tahunan sepertimana juga dengan banjir. Apabila musim hujan katanya, negeri mengalami banjir dan apabila musim kemarau pula, berlakulah kebakaran hutan.
“Ini bukan kali pertamalah (negeri ini dilanda kebakaran hutan). Tinggal lagi, pihak Jabatan Bomba (dan Penyelamat Negeri) mencuba sedaya-upaya. Peralatan tidak juga menjadi masalah, yang menjadi masalah ialah bekalan ataupun punca air (untuk memadamkan kebakaran hutan tersebut),” katanya lagi.
Beliau seterusnya berharap orangramai dapat bersikap betul dengan contohnya, tidak mencampakkan puntung - puntung rokok atau cerut merata-rata sehingga boleh memercik dan menyalakan api, lalu merebak membakari hutan.