Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Berita Negeri - Pahang Sasar Destinasi Bertaraf Dunia


TEMERLOH - Kerajaan negeri akan berganding bahu dengan Kementerian Pelancongan untuk mempromosi Pahang sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia di luar negara bagi meningkatkan kehadiran pelawat antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, keindahan alam semula jadi yang banyak terdapat di negeri ini merupakan aset pelancongan yang mampu menambat pelancong asing termasuk dari benua Eropah.

Katanya, sebab itu, rakyat negeri ini perlu bersyukur dan bekerjasama dengan kerajaan bagi mengeksploitasi segala aset kurniaan Allah itu sama ada air terjun, pantai, pulau, gua dan sebagainya dalam meningkatkan sektor pelancongan negeri.

"Saya harap rakyat Pahang mengamalkan budaya berbudi bahasa, peramah dan sentiasa senyum menyambut tetamu yang datang supaya pelancong berminat untuk tinggal lebih lama ketika melancong ke negeri ini," katanya.

Mohd. Sharkar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program gotong-royong perdana Taman Sri Kemuning di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pegawai Kesihatan Daerah Temerloh, Dr. Azuwa Arif.

Katanya, usaha meningkatkan jumlah pelancong boleh dicapai kerana negeri ini sudah dikenali di peringkat antarabangsa menerusi keindahan Pulau Tioman, Taman Negara, Genting Highlands, Cameron Highlands, Bukit Fraser, Tasik Chini dan lain-lain.

"Sasaran kerajaan negeri tahun ini adalah mencatat kedatangan 10.5 juta pelancong dengan meraih pendapatan RM7.5 bilion berbanding 9.5 juta pelancong tahun dengan pendapatan RM6.5 bilion.

"Sebagai usaha nilai tambah, kerajaan akan menganjurkan beberapa acara menarik seperti Festival Muzik Kuantan, Maraton Kuantan dan pelbagai lagi dalam mencapai sasaran ini," jelasnya.

Selain itu, katanya, Singapura antara sasaran promosi secara agresif terutama produk berkaitan ekopelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Secara tradisinya rakyat Singapura merupakan pelancong yang paling ramai ke Pahang bagi menikmati fenomena tanah tinggi berhawa dingin, pantai yang bersih, air terjun yang menyejukkan dan lain-lain.

"Rakyat Singapura lebih gemar merasi keseronokan ekopelancongan berkaitan alam semula jadi dan agropelancongan yang berasaskan pertanian," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...