KUALA LUMPUR - Pergerakan Pemuda Umno menubuhkan sekretariat khas bagi memperjuangkan hak golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan dalam pembangunan negara meliputi semua sektor termasuk sektor ekonomi, politik dan sosial.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti pergerakan itu Datuk Muhd Khairun Aseh berkata penubuhan sekretariat khas berkenaan bertujuan membantu golongan OKU agar tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara.
Bercakap pada sidang akhbar di sini, beliau berkata daripada kira-kira 200,000 OKU di negara ini, hanya 3,860 orang yang mempunyai pekerjaan tetap.
Sementara itu, Pengurus Jabatan ICT Silatul Rahim Dahman yang mewakili Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia berkata sikap dan mentaliti masyarakat yang meragui keupayaan OKU penglihatan perlu diubah bagi memastikan golongan ini tidak terpinggir dalam konteks sosial.
Beliau berkata masyarakat yang beranggapan golongan ini suka mengambil kesempatan terhadap kekurangan fizikal mereka demi meraih simpati, adalah tidak benar sama sekali.
"Sejak dahulu lagi mentaliti dan sikap masyarakat menyifatkan golongan seperti kami adalah golongan yang tidak dapat menyumbangkan apa-apa kepada negara, sedangkan ada antara kami terdiri daripada golongan profesional dan berpendidikan tinggi," katanya.
Silatul berkata mentaliti masyarakat yang sedemikian menyebabkan golongan itu sukar mendapat peluang pekerjaan kerana ada dalam kalangan majikan yang kurang yakin dengan kemampuan mereka dalam melaksanakan sesuatu tugasan.
"Di Malaysia hanya 30 peratus orang buta berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan masih ramai golongan ini yang belum berdaftar dengan JKM," katanya.
Silatul berkata sikap masyarakat yang memandang rendah terhadap kemampuangolongan itu memberi kesan terhadap kredibiliti mereka untuk bekerja dalamsektor swasta mahupun awam. - Bernama
Published with Blogger-droid v2.0.6


