
Saifuddin Abdullah (dua dari kiri), Chuah Boon Seong (kiri) dan Zaileha Jaafar (tiga dari kanan) bersama pengantin olok-olok selepas majlis perasmian butik D'Renjis di Mentakab, baru-baru ini.
TEMERLOH - Program Empower yang dilaksanakan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di beberapa daerah di negeri ini terbukti berjaya melahirkan beberapa usahawan kecil yang berpotensi berkembang maju pada masa depan.
Salah seorang peserta yang mendapat manfaat daripada program tersebut ialah Zaileha Jaafar, 45, yang berjaya membuka butik dan andaman pengantin di bandar Mentakab dekat sini.
Berbekalkan kemahiran dipelajarinya menerusi kursus keusahawanan Empower selama enam bulan, perniagaan berkaitan andaman pengantin itu berjaya mengubah nasib ibu kepada empat orang anak itu apabila mampu meraih pendapatan melebihi RM3,000 sebulan.
''Sebelum ini pendapatan saya hanya cukup makan dan lepas untuk membayar sewa kedai menjahit baju setelah berkongsi dengan seorang lagi rakan di bandar Mentakab.
''Saya berasa amat bersyukur kerana dipilih menyertai program kemahiran dan keusahawanan Empower yang telah memberikan saya keyakinan agar lebih berani bersaing setelah mendapat pelbagai ilmu kemahiran berkaitan andaman pengantin, jahitan, menggubah bunga dan selok-belok dunia perniagaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian butiknya, D'Renjis oleh Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong.
Walaupun hanya menghadiri kursus jangka pendek, bagi Zaileha, ia cukup bermakna kerana dikendalikan oleh tenaga pengajar yang profesional apabila memberikan pendedahan yang betul menerusi ilmu dan kemahiran berkaitan dengan minat para peserta.
Beliau adalah antara 500 peserta dewasa yang terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal, para belia dan kaum bapa yang menjalani pelbagai kursus di bawah Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower di daerah Temerloh.
"Saya telah diajar tentang kemahiran solekan pengantin, hiasan dan teknik kreativiti berkaitan dunia andaman pengantin dan sebagainya.
"Selain ECER, saya juga menghargai sokongan rakan-rakan dan juga para pelanggan yang sentiasa menyokong perniagaan ini," katanya yang bercita-cita untuk membuka cawangan selepas ini.

