KUALA KRAU - Bandar Tun Abdul Razak Jengka akan kekal dikuasai usahawan bumiputera jika penduduk dan peniaga dapat bersatu dalam memajukannya agar setanding dengan bandar utama lain di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, walaupun ada cadangan supaya Bandar Tun Abdul Razak Jengka diwartakan sebagai bandar bumiputera namun kerajaan negeri tidak berhasrat melakukannya.
Katanya, dalam keadaan ekonomi negara yang berkembang, adalah lebih baik para peniaga bumiputera komited menjalankan perniagaan tanpa bergantung penuh kepada keistimewaan daripada kerajaan.
"Sikap positif penduduk dan peniaga bumiputera itu dapat membantu mereka mengekalkan aset yang ada di hadapan mata daripada direbut pihak lain yang lebih berdaya saing.
"Usahawan bumiputera wajar mencontohi peniaga Cina yang sentiasa bersatu, bermuafakat dan mempunyai tabung pinjaman perniagaan bagi membantu rakan niaga mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Medan Selera Bandar Tun Abdul Razak Jengka yang mempunyai 24 unit gerai bernilai RM2.7 juta di sini kelmarin.
Medan Selera Bandar Tun Abdul Razak Jengka merupakan projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan menggunakan peruntukan khas Kerajaan Persekutuan untuk kawasan bekas pentadbiran Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ).
Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said; Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail.
Bagaimanapun Adnan menegaskan, kerajaan memberi jaminan Bandar Tun Abdul Razak Jengka akan terus dibantu dari segi pembangunan prasarana dan sebagainya.
Tegasnya, ini terbukti dengan pelbagai projek pembangunan seperti Terminal Bas Bersepadu di Nadi Kota yang bakal merancakkan lagi pertumbuhan Bandar Tun Abdul Razak Jengka pada masa akan datang.
Menurut beliau, Bandar Tun Abdul Razak Jengka mempunyai prospek kemajuan sangat pesat kerana kedudukannya berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang dengan bilangan pelajar kira-kira 10,000 orang.
"Di samping itu, lokasi Bandar Tun Abdul Razak Jengka di tengah-tengah Felda Wilayah Jengka menambah lagi nilai tambah kemajuan dan kepesatan bandar ini," katanya.


