KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menafikan terlibat dengan siasatan atau apa juga yang berkaitan kes tangkapan khalwat pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz, beliau dimaklumkan pihak istana bahawa baginda tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut apatah lagi mencampuri siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
"Dakwaan Badrulamin bahawa Tengku Abdullah mengenalinya boleh dibuat oleh sesiapa sahaja kerana baginda sememangnya mengenali dan dikenali oleh semua orang.
"Bagaimanapun baginda hanya ingin tahu siapakah yang ditahan JAIP atas dakwaan berkhalwat sehari selepas kejadian tersebut. Itu sahaja dan tidak timbul baginda terlibat dalam siasatan JAIP," katanya kepada Utusan Malaysia di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa laman blog yang mengaitkan Tengku Abdullah dalam kes khalwat Badrulamin dan seorang wanita berstatus isteri orang minggu lalu di sebuah hotel di Balok di sini.
Menurut Mohamad Sahfri, siasatan ke atas Badrulamin masih diteruskan dengan beberapa orang saksi masih diambil keterangan mereka.
"JAIP perlu menjalankan siasatan terperinci dengan memerlukan sedikit masa kerana kes ini diperoleh daripada aduan dan bukannya daripada operasi seperti kebiasaan.
"Justeru, saya ingin menasihati Badrulamin agar tidak memberi sebarang kenyataan kepada akhbar kerana ia sedikitpun tidak akan membantu proses siasatan.
"Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan hanya akan mengganggu proses di mahkamah kelak," jelasnya.
Mohamad Sahfri juga kecewa dengan sikap Badrulamin yang enggan membuat laporan polis sekiranya benar dia dipukul.
"Kita tidak halang dia untuk membuat laporan polis sekiranya benar dipukul ketika serbuan dilakukan. Namun, sehingga kini tiada sebarang laporan dibuat dan yang nyata tiada sebarang bukti menunjukkan dia dipukul penguat kuasa JAIP," ujarnya.